Ragam hias ruang yang terhad memerlukan daya kreativiti tinggi. Seboleh-bolehnya tiada ruang yang dibazirkan. Semua bahagian dirancang rapi bagi memaksimumkan fungsi ruang. Itulah yang dilakukan oleh Zuria Asyura sebelum berpindah masuk ke unit kondominiumnya.
Ragam hias ruang yang terhad memerlukan daya kreativiti tinggi. Seboleh-bolehnya tiada ruang yang dibazirkan. Semua bahagian dirancang rapi bagi memaksimumkan fungsi ruang. Itulah yang dilakukan oleh Zuria Asyura sebelum berpindah masuk ke unit kondominiumnya. Beberapa pengubahsuaian yang dibuat adalah untuk memenuhi keperluan gaya hidup beliau dan suaminya, Ahmad Shaiful Reedzuan Zakaria, 32.
Untungnya, pemaju telah melengkapkan setiap rumah dengan dua unit pendingin hawa, kabinet dapur dan almari pakaian siap dipasang.
“Rumah saya kecil saja, jadi kenalah berfikir lebih sedikit bagaimana nak atur ruang dalaman. Walaupun hanya kami berdua yang tinggal di sini, ahli keluarga lain kerap juga datang berkunjung dan bermalam,” ujar Zuria Asyura yang bertugas sebagai pereka bentuk dalaman dan jurumekap bebas.
Kini selepas lebih setahun mendiaminya, tata rias kediaman mereka sudah pun serba lengkap. Keluasan ruang terhad langsung tidak membataskan Zuria Asyura untuk menumpahkan sepenuh idea dan gaya rekaan yang mempamerkan sentuhan seni.
“Kondo ini dibeli Shaiful sebelum kami berkahwin lagi, iaitu sekitar tahun 2010. Ia siap dibina pada tahun kami melangsungkan perkahwinan pada 2012. Sebaik saja mendapat kunci, kami terus berpindah. Mungkin ada orang berpendapat kediaman ini kecil dan kurang sesuai untuk membina keluarga, tapi saya rasa ia cukup praktikal buat masa sekarang. Kalau kami mempunyai seorang cahaya mata sekali pun, ia masih selesa untuk didiami,” tegasnya, positif.
Unit kediaman di tingkat lapan ini asalnya menyediakan sebuah bilik tidur sahaja lalu mereka tambah sebuah lagi dengan mengambil separuh daripada kawasan ruang makan.
Mereka turut membentuk karakter pada bahagian dinding yang menghadap ruang tamu dengan memasang dua keping panel kayu, sekali gus mewujudkan titik tumpu. Rekaan panel itu seragam dengan pintu bilik.
Dan sebagai seorang jurureka dalaman sudah tentulah Zuria Asyura diberi tanggungjawab merancang serta melakar ilham pengubahsuaian. Malah susun atur perabot dan pilihan unsur hiasan pun datang daripada buah fikirannya. Yang penting, beliau dan suami menghias mengikut bajet.
Hatta perabot yang dibeli juga bukan dalam kategori mewah, asalkan menepati keperluan dan sesuai dengan keluasan ruang serta gaya yang diketengahkan. Untuk itu, mereka rajin ke kedai terpakai untuk mencari perabot lama yang boleh diberi nafas baru seperti sepasang kerusi makan fabrik biru ilham Zuria Asyura.
“Sewaktu beli kerusi ini yang berharga RM100 satu, suami saya terpinga-pinga dan belum dapat bayangkan apa yang tergambar dalam fikiran saya. Biarpun sudah dijelaskan macam mana saya nak transform rupa kerusi itu, dia masih menganggapnya tidak sesuai. Selepas ditunjukkan lakaran pun dia masih 50-50, tapi positif dan mengikut saja. Apabila dah siap sepenuhnya barulah dia puas hati,” cerita Zuria Asyura sambil menunjukkan kerusi yang dimaksudkan.
Beliau menukar bahan buatan kerusi daripada kulit rona gelap kepada fabrik biru dengan perincian butang dan piping putih. “Saya cuma upah orang membuat, tapi fabrik dan bahan kemasan saya yang sediakan,” tambahnya.
Di bilik tidur utama, Zuria Asyura menghasilkan titik tumpu pada dinding di belakang kepala katil. Beliau memasang sendiri kemasan kertas dinding corak damask yang diserikan dengan bingkai kayu putih untuk menegaskan kewujudannya.
“Kalau boleh memang semuanya saya nak buat sendiri. Saya suka. Saya rasa puas. Ia juga dapat menjimatkan kos. Kita cuma perlu bayar upah untuk kerja yang memerlukan kemahiran tertentu,” tegasnya.
Beliau memilih putih-biru untuk melatari ruang tamu dan menempatkan perabot yang diperlukan sahaja serta mampu memberi kegunaan lain seperti sofa bed. Sofa ini dijadikan perabot utama diiringi sepasang kerusi satu tempat duduk. Sesetengah perhiasan yang diketengahkan turut menawarkan tempat penyimpanan bijak.
Sementara itu, kusyen hiasan corak bendera British dan lampu lantai berterendak motif serupa menyerlahkan gaya Inggeris.
“Kami suka melancong dan pernah tinggal di United Kingdom. Kebanyakan idea penataan ini saya cedok melalui pemerhatian dan pengalaman selama menetap di sana. Saya suka gaya Inggeris, tapi lebih kepada pendekatan yang lebih moden dan ringkas. Jadi, saya cuba ketengahkan inspirasi gaya Inggeris yang mempunyai pengaruh peribadi antara saya dan suami,” jelas Zuria Asyura.
Perhitungannya itu ternyata menjadi kerana apa yang dipamerkan adalah satu visual terbuka gaya hidup mereka berdua. Setiap hiasan sudut dan dinding, pilihan perabot, ilham gaya dan rekaan ruang serta coretan gambar berbingkai yang membenarkan kediaman mereka untuk ‘berbicara’ dalam bahasanya tersendiri, jelas menggambarkan peribadi si pemilik.
Sumber: Anjung Seri